Ucapan Hari Pekerja 2024
J Solomon, Setiusaha Agung NUBE
Salam NUBE
Salam Sejahtera
Saudara-Saudari yang dihormati,
Pergi berkebun menanam ubi,
Setiap batas ditabur baja,
Dari kami di NUBE,
Mengucapkan Selamat Hari Pekerja.
Semasa kita memperingati hari yang mulia ini, marilah kita mengambil kesempatan untuk mengingati bahawa sebagai seorang pekerja, kita berusaha untuk hidup secara mulia dan bermaruah.
Setiap ahli NUBE telah mendedikasikan kehidupan mereka untuk mencari nafkah yang halal, melaksanakan tugas mereka dengan jujur, mereka berhak untuk menjalani kehidupan dengan penuh bermaruah dan berkat seperti orang lain.
Dengan perasaan bangga, marilah kita mengenang dan menghormati generasi pekerja terdahulu, anggota kesatuan sekerja, dan pemimpin kesatuan sekerja yang telah melalui perjuangan dan pengorbanan mereka termasuk pekerja yang mengorbankan nyawa mereka, untuk merealisasikan perayaan hari ini.
Hak yang kita nikmati sebagai pekerja hari ini diperoleh dengan titik peluh oleh pemimpin terdahulu dan pemimpin semasa juga sering melakukan pengorbanan peribadi yang besar.
Pada hari yang mulia ini, jangan lupa bahawa perjuangan untuk memperbaiki kehidupan pekerja adalah berlanjutan, kerana masa depan yang selamat untuk pekerja masih tidak menentu.
Dalam setiap cabaran yang kita hadapi, anggota NUBE mesti bersatu untuk mempertahankan maruah dan hak kita apabila pihak-pihak luar yang berpengaruh akan cuba patahkan semangat perpaduan kita.
Melalui solidariti dan perpaduan, kita dapat membina industri perbankan di mana ahli NUBE dilayan sama rata dengan pengurusan bank kerana kita keseluruhannya adalah pekerja bank.
Kini, kita sedang menghadapi amalan pengurusan bank yang tidak berperikemanusiaan tetapi kita tetap dengan pendirian kita untuk menjaga reputasi industri perbankan yang kini diancam oleh pihak-pihak yang mementingkan diri sendiri.
Pengurusan Bank masih bertindak seolah-olah bank itu hanya milik mereka, dan pekerja tidak memiliki sebarang hak dalam bank.
Pihak pengurusan, sebagai contoh, tidak merasakan keperluan untuk berkongsi maklumat tentang keadaan kewangan perniagaan kepada pekerja atau membincangkan cara keuntungan harus diagihkan.
Mereka menggangap semata-mata hak prerogatif pengurusan untuk memutuskan bagaimana perkara seperti gaji sara hidup, bonus, insentif, keperluan sosial asas atau kemudahan harus disediakan dalam pejabat.
Sebaliknya Majikan sepatutnya berkewajipan untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan pekerja, sama seperti seorang ahli keluarga bertanggungjawab untuk menjaga kesejahteraan dan kebajikan ahli keluarga yang lain.
Matlamat NUBE adalah untuk memastikan kehidupan yang lebih baik dan lebih bermaruah bagi ahli NUBE, terutama apabila industri kita terus melaporkan peningkatan keuntungan berbillion setiap tahun.
Kementerian Sumber Manusia atau KESUMA telah diamanahkan untuk berkhidmat sebagai sebahagian daripada kontrak sosial negara dengan rakyatnya. Perniagaan mempunyai kelebihan tersendiri berbanding buruh. Oleh sebab itu KESUMA ini wujud bertujuan untuk membetulkan ketidakseimbangan, malangnya untuk pekerja-pekerja Bank, pihak-pihak tertentu dalam KESUMA ini telah memihak kepada majikan bank dan meminggirkan pekerja-pekerja golongan pendapatan rendah.
Harus diingati kemusnahan sesuatu bangsa atau negara adalah berpunca daripada, kereputan akhlak dan kemiskinan jiwa para pentadbir dan penguasa.
Perkhidmatan awam merupakan satu institusi yang utama dan penting kerana ia dipertanggungjawab untuk melaksanakan segala dasar dan peraturan Kerajaan bagi pembangunanan rakyat dan negara. Justeru itu, perkhidmatan awam Malaysia adalah pemegang Amanah untuk mempertingkatkan kualiti kehidupan rakyat dan memesatkan lagi pembangunan negara.
Sekiranya perkhidmatan awam cekap, usaha-usaha yang dilaksanakan akan menepati matlamat. Jika sebaliknya, bukan hanya akan menjejaskan proses pembangunan, malah ia akan merugikan wang rakyat dan negara, bahkan juga akan mencemarkan nama baik negara di peringkat antarabangsa.
Dalam tempoh tiga bulan ini, NUBE telah menghadapi ancaman berterusan dari KESUMA dan pengurusan perbankan, dimana kedua-dua pihak ini telah menggunakan taktik licik untuk menjejaskan kesejahteraan ahli-ahli NUBE dengan niat untuk mengurangkan pengaruh kesatuan sekerja.
Tindakan ini telah menjejaskan kesejahteraan 15,000 ahli NUBE. Gejala-gejala negatif ini adalah ibarat kuman barah yang boleh melumpuhkan seluruh jentera KESUMA sekiranya terus dibiarkan tanpa usaha-usaha pencegahan yang berkesan.
Oleh itu, sekiranya Malaysia ingin terus maju dan muncul sebagai sebuah negara yang maju dan disegani oleh dunia, perkhidmatan awam sebagai tulang belakang Kerajaan dalam usaha pembinaan bangsa dan negara, haruslah berketrampilan dan cemerlang.
NUBE tetap teguh dalam komitmen untuk mempertahankan hak dan kesejahteraan ahli-ahli NUBE daripada sebarang kesukaran. Kami bersyukur kerana kekuatan kita datang daripada Tuhan, yang telah melindungi kita daripada segala bentuk serangan niat jahat.
Menyedari hal ini, marilah kita juga mengambil kesempatan pada hari yang mulia ini, mengingatkan diri kita bahawa perjuangan untuk mengangkat dan memartabatkan kehidupan seorang pekerja bank tidak pernah selesai. Sambil itu kita perlu bantu sektor kewangan memainkan peranan yang bermakna untuk semua rakyat Malaysia.
Dalam lanskap dunia yang terus berubah, setiap generasi anggota NUBE harus memainkan peranan dalam perjuangan NUBE. Hanya melalui perpaduan dan solidariti, kita boleh melibatkan diri dalam perjuangan berterusan untuk membina masa depan yang tetap cerah dan bukan sekadar seronok sementara.
Sebagai sebuah komuniti yang bertanggungjawab dalam industri perbankan, setiap ahli NUBE perlu komited untuk menyumbang secara saksama kepada usaha kolektif kita, memastikan setiap daripada kita dilayan dengan penghormatan yang sepatutnya supaya kehidupan keluarga kita tetap terbela.
Pada hari yang mulia ini, Bagi pihak Jawatankuasa Eksekutif NUBE, saya dengan ini menyampaikan ucapan selamat Hari Pekerja 2024 kepada semua ahli NUBE yang dihormati, rakan-rakan pemimpin NUBE, rakan-rakan sekerja di pejabat NUBE, rakan sekerja di bank dan semua pekerja di seluruh Malaysia.
Walaupun ada pihak-pihak tertentu yang cuba menyusahkan ahli NUBE namun oleh kerana mereka juga adalah pekerja, maka sempena hari yang mulia ini kita juga mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada pengurusan bank, Ahli Jawatankuasa Eksekutif MCBA, Ahli-ahli ABM, para penjawat awam khasnya di KESUMA, Menteri dan Timbalan Menteri KESUMA.
Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.
ONE FOR ALL ALL FOR ONE.











To post likes and comments on National Union of Bank Employees stories, you will need to Signin or Register Now