KONGRES Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mahu Putrajaya memaksa bank melanjutkan tempoh moratorium bayaran ansuran bulanan pinjaman rumah dan kereta untuk enam bulan lagi.
Setiausaha Agung MTUC J Solomon berkata Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia perlu memastikan bank melanjutkan moratorium terutama untuk kumpulan sasaran pekerja yang masih tidak mampu membayar pinjaman mereka.
“Jelas sekali, MOF dan BNM tidak boleh melupuskan tanggungjawab mereka dalam memastikan yang moratorium itu dilanjutkan enam bulan lagi kepada semua kumpulan B40 dan M40, serta pekerja yang kehilangan kerja mereka tanpa mengira skala gaji,” katanya dalam satu kenyataan.
Solomon mengulas kenyataan BNM yang berkata sukar untuk institusi perbankan bersedia melanjutkan lagi moratorium enam bulan bayaran ansuran bulanan untuk pinjaman kenderaan dan rumah yang akan berakhir 1 September ini.
Moratorium itu diletakkan di bawah pakej Prihatin dikeluarkan Putrajaya, yang mencadangkan morotarium automatik kepada semua pembayaran pinjaman oleh individu dan perusahaan sederhana selama enam bulan bermula 1 April sehingga 30 September.
Pembantu Gabenor BNM Adnan Zaylani Mohamad Zahid dipetik berkata yang pemulihan ekonomi akan diteruskan dan “kami tidak berhasrat melanjutkan moratorium kerana ia akan memberikan kesan yang kami mahu elak.”
Kenyataan Adnan selaras dengan kenyataan Menteri Kewangan Zafrul Abdul Aziz pada 28 Jun yang terpulang kepada bank sekiranya mereka mahu melanjutkan moratorium pinjaman bersasar.
Kata Solomon lagi, selain rakyat, pelanjutan sama juga wajar diberikan kepada syarikat dengan kemudahan pinjaman yang bergelut untuk bertahan ketika musim wabak.
“Ini akan termasuk hampir 800,000 pekerja yang hilang kerja sehingga April tahun ini dan ribuan lagi yang dipaksa melakukan potongan gaji atau bercuti tanpa gaji oleh majikan mereka.
“Untuk bank mengambil sikap ‘hidup macam biasa’ dan mengharapkan pekerja yang masih bergelut dengan kehilangan kerja dan hampir tiada pendapatan untuk kembali membayar pinjaman mereka, adalah tindakan sangat kejam dan tidak berperikemanusiaan kepada peminjam.”
Katanya, sangat jelas yang statistik rasmi menunjukkan ramai pekerja kehilangan kerja disebabkan kelembapan ekonomi dicetuskan wabak Covid-19.
“Pembukaan semula ekonomi adalah proses perlahan dan pekerja akan mengambil masa untuk kembali berdiri dan mampu membayar pinjaman mereka.
“Tidak wujud keraguan bagi pihak kerajaan, terutama Kementerian Kewangan dan BNM yang sebilangan besar tenaga kerja masih belum bersedia membayar semula pinjaman kereta dan perumahan mereka.
“Jika bank bertegas untuk ‘kutip’, kami jangkakan wujud lonjakan kes penyitaan kenderaan dan rumah kelas pekerja yang akan memberikan sengsara tambahan kepada mereka dan keluarga mereka.”
Katanya pada 2019, semua bank di Malaysia merekodkan keuntungan berbilion ringgit, dan ia berterusan bertahun lamanya.
“Dalam berdepan Covid-19, Kementerian Kewangan dan BNM berulang kali mengatakan yang sektor perbankan kekal kukuh dengan lebih daripada mencukupi kecairan kewangan mereka.
“Ini menunjukkan yang sektor perbankan yang kukuh dapat dengan mudah memberikan lanjutan enam bulan lagi kepada rakyat Malaysia yang memerlukannya.
“Bank ada tanggungjawab moral untuk berbuat begitu dan Kementerian Kewangan dan BNM perlu berhenti memberikan alasan untuk mereka tidak berbuat demikian.”
Solomon berkata kerajaan dan BNM mempunyai kuasa dan pengaruh untuk mengarahkan bank melanjutkan moratorium dan sekiranya perlu, Pejabat Perdana Menteri perlu masuk campur demi kepentingan rakyat.
Tambahnya lagi, memaksa rakyat menyambung semula bayaran pinjaman mereka bermula Oktober, bank dan kerajaan hanya memusnahkan kewibawaan yang kini mereka raih daripada rakyat.
“Pelanjutan moratorium untuk enam bulan lagi tidak akan menjejaskan kedudukan asas bank, tetapi ia boleh membantu golongan pekerja miskin dan bermasalah.” – 4 Julai, 2020.
Source : https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/258607











To post likes and comments on National Union of Bank Employees stories, you will need to Signin or Register Now