Oleh J Solomon
Baru-baru ini saya berpeluang menghadiri majlis perasmian persidangan tiga tahun sekali Kesatuan Pekerja-pekerja KTM Berhad. Saya rasa masa berlalu cepat. Kita baru sahaja meraikan sambutan ulang tahun ke-60 Hari Kemerdekaan. Sempena sambutan ini, selaku Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), saya menyampaikan ucapan salam sambutan kepada rakyat Malaysia.
Kemerdekaan tidak mempunyai nilai jika harapan rakyat terutama pekerja tidak direalisasikan demi memperbaiki kehidupan mereka. Kita mengakui hakikat negara berkembang dari segi ekonomi ke tahap memuaskan sepanjang 60 tahun pascakemerdekaan. Ia jelas dibandingkan dengan beberapa negara lain.
Pembangunan infrastruktur meningkat dengan pesat dan pertumbuhan aliran masuk pelaburan asing (FDI) dapat dilihat sebagai trend positif. Sememangnya, walaupun infrastruktur membolehkan pengeluaran kos yang rendah, peningkatan FDI membolehkan pengeluaran lebih baik. Ini akhirnya membolehkan kos sara hidup dikekalkan pada tahap munasabah. Namun, kita tidak boleh berpuas hati kerana hakikatnya kerajaan perlu menangani isu berkaitan kumpulan B40 dan M40. Ini mencerminkan wujud pendapatan tidak adil dan pengagihan kekayaan antara 20 peratus yang kaya dan 80 peratus tidak berkemampuan.
Dalam erti perkembangan ekonomi dicapai setakat ini, tidak dapat dinafikan pekerja memainkan peranan penting dalam pembangunan sejak negara merdeka. Golongan pekerja seramai 14 juta sekarang. Hampir separuh daripada keseluruhan penduduk boleh berbangga atas sumbangan kepada kemajuan. Selain itu, sumbangan pekerja asing sekitar lima juta juga tidak boleh diketepikan begitu sahaja.
Kerajaan buat keputusan dasar dalam soal pembangunan ekonomi. Pekerja pula melaksanakan matlamat pembangunan itu. Ini adalah gandingan ‘menang-menang.’ Jika bukan kerana dedikasi dan komitmen pekerja, pembangunan ekonomi meskipun kecil tidak dapat dicapai seperti diharapkan. Dalam erti kata itu, kemajuan dalam pembangunan mempunyai nilai signifikan bagi pekerja dan kami beri penghormatan kepada pekerja atas pengorbanan mereka.
Bagaimanapun perlu ditekankan, sementara kita tidak harus mempertikai peranan pekerja asing, pihak berkuasa gagal memastikan aspek imbang dan periksa dalam mengurangkan penggunaan dan penggajian pekerja asing. Satu dasar jelas perlu digubal demi masa depan negara.
Pekerja tempatan belum digunakan sepenuhnya kerana majikan masih mahu tenaga buruh murah untuk kekayaan yang tidak adil. Oleh itu, ketidakadilan serius menyebabkan pekerja tempatan dinafikan peluang pekerjaan. Secara tidak langsung pihak berkuasa juga gagal dengan ketara menangani masalah ini.
Undang-undang buruh perlu diberi nafas baharu
Ledakan teknologi dan digitalisasi berkembang dengan meluas. Perniagaan juga berkembang dalam kadar yang sama. Bagaimanapun, perlindungan keselamatan kerja belum ditangani dengan cara sama dan tidak dikawal selia secara menyeluruh bagi memastikan keseimbangan peluang mendapat pekerjaan. Sebaliknya, beribu-ribu pekerja diabaikan tanpa pekerjaan. Ini perlukan perhatian segera semua pihak, termasuk tindakan komprehensif pihak majikan.
Di sebalik isu itu, undang-undang buruh tidak disemak dan dipinda sewajarnya bagi menangani ketidakpastian yang timbul dari semasa ke semasa. Undang-undang buruh perlu cerminkan kehendak dan keperluan semasa. Dalam konteks hari ini beberapa undang-undang buruh sedia ada sudah menjadi usang. Ia perlu diberi nafas baharu dengan mengambil kira ciri-ciri alaf ini.
Pada era pasca kemerdekaan di bawah sistem demokrasi, kemerdekaan pekerja dalam semangat sebenar membimbangkan kesatuan sekerja. Kita terus berhadapan situasi majikan menafikan hak pekerja. Kami tidak minta bulan dan bintang, tetapi berikan hak munasabah demi kehidupan bermaruah.
Sesetengah majikan agresif menghalang pekerja menganggotai kesatuan sekerja. Dalam keadaan tertentu pekerja kerugian hanya kerana terbabit dalam kegiatan kesatuan walaupun secara sah. Dalam erti kata lain kemerdekaan bagi pekerja dan kesatuan sekerja bukan membanggakan. Kerajaan perlu tangani isu kritikal seperti ini. Aspek itu perlu diperbaiki demi melindungi kemerdekaan sejati pekerja.
Kita boleh agak selesa kerana kerajaan memulakan beberapa langkah menangani sesetengah kebimbangan ini. Kami hargai pengenalan gaji minimum dan skim perumahan bagi pekerja berpendapatan rendah untuk mendapatkan bantuan, walaupun ia tidak dapat mengembalikan beban berkenaan secara keseluruhan.
Dalam konteks ini, semua pihak perlu memperlihatkan pendekatan proaktif bagi menyediakan kemerdekaan ekonomi kepada pekerja dan rakyat tanpa menghiraukan perbezaan politik dan sosial. Kami komited bekerjasama dengan kerajaan sambil membawa perhatian kepada perkara yang jejaskan pekerja dan dengan itu, kami ingin menekankan sokongan tanpa ragu kepada kerajaan oleh keseluruhan pergerakan kesatuan sekerja tanpa mengira apa jua perbezaan yang wujud.
Komitmen dan pengorbanan sedemikian dibuat semata-mata demi kebajikan rakyat yang dahagakan kebebasan daripada golongan memeras mereka dan untuk meraih faedah terbaik buat pekerja di mana manfaat yang berlimpah tidak semestinya pergi kepada kaum pekerja.
Sehubungan itu, kami meletakkan harapan kerajaan akan adakan dialog sosial berkesan dengan semua pihak berkepentingan dalam pelaksanaan dasar, mengatasi kekurangan sedia ada untuk pekerja dan rakyat agar mereka merasai manfaat kehidupan penuh bermaruah dan menzahirkan pemikiran bebas ke arah pembangunan di bawah semangat kemerdekaan yang betul.
Penulis adalah Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC)
Sumber : https://www.bharian.com.my/…/berikan-hak-munasabah-kepada-p…











To post likes and comments on National Union of Bank Employees stories, you will need to Signin or Register Now