KUALA LUMPUR: CIMB Group Holdings Bhd mencatatkan peningkatan dari segi prestasi keuntungan bersihnya bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2021 dengan keuntungan bersih sebanyak RM854.51 juta.
Ini berbanding dengan kerugian bersih RM100.59 juta pada suku ketiga 2021 dan keuntungan bersih RM214.98 juta pada suku keempat 2020, menurut syarikat perbankan itu dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia pada Isnin.
Perolehan susut kepada RM4.59 bilion daripada RM4.67 bilion yang dicatatkan pada suku keempat 2020.
Bagi tempoh penuh tahun kewangan 2021, CIMB mencatatkan keuntungan bersih RM4.29 bilion berbanding RM1.19 bilion pada tahun kewangan penuh 2020 manakala hasil meningkat kepada RM19.51 bilion berbanding RM16.98 bilion bagi tempoh yang sama.
CIMB mencadangkan dividen interim kedua sebanyak 12.55 sen sesaham (suku keempat 2020: 4.81 sen), menjadikan dividen tahunan sebanyak 22.99 sen sesaham (tahun kewangan 2020: 4.81 sen) untuk nisbah pembayaran 50 peratus berdasarkan keuntungan bersih teras, sejajar dengan dasar dividen syarikat, jelasnya.
Menurut CIMB, prestasi tahun ke tahun yang lebih baik itu dipacu oleh pendapatan operasi yang lebih tinggi dalam situasi pemulihan merentas semua segmen dan pasaran, disokong seterusnya oleh kawalan kos yang baik dan peruntukan yang jauh lebih rendah.
"Kami menyaksikan pemulihan prestasi operasi asas yang kukuh di seluruh segmen dan geografi perniagaan, didorong oleh pertumbuhan kukuh dari segi pendapatan operasi, disiplin dalam membendung peningkatan kos selain peruntukan yang jauh lebih rendah mengikut sasaran kami," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Abdul Rahman Ahmad.
Pada 2021, jumlah pinjaman kasar meningkat 3.3 peratus tahun ke tahun, didorong oleh pertumbuhan 4.1 peratus di Malaysia, pertumbuhan 3.9 peratus di Indonesia dan pertumbuhan 4.6 peratus di Singapura.
Jumlah deposit naik 7.2 peratus tahun ke tahun manakala akaun semasa-akaun simpanan (CASA) terus mencatatkan pertumbuhan kukuh 10.3 peratus tahun ke tahun, dengan nisbah CASA mencecah 42.5 peratus pada Disember 2021.
Nisbah pinjaman-kepada-deposit pula berada pada 85.8 peratus pada akhir 2021, meningkat 1.3 peratus daripada suku sebelumnya.
Jangkaan kerugian kredit dilaksanakan, peruntukan lanjut dijangka pada suku pertama 2022
Menurut CIMB, ia melaksanakan jangkaan kerugian kredit (ECL) pada suku keempat tahun kewangan 2021.
"Seperti yang diumumkan pada Januari 2022, kumpulan ini mendapati ralat pemprosesan berkaitan perkhidmatan kiriman wang pihak ketiga yang mengakibatkan segelintir pelanggan menerima kredit duplikasi ke dalam akaun mereka. Kumpulan ini sedang melaksanakan langkah perlu untuk menyelesaikan bayaran duplikasi itu daripada pelanggan yang terjejas.
"Berikutan penilaian dan langkah pemulihan yang sedang dijalankan, kumpulan ini telah menawarkan secara berhati-hati majoriti daripada pendedahan itu dengan ECL sebanyak RM280.9 juta bagi tahun kewangan 2021," jelasnya.
Tambahnya, ia bergantung kepada libat urus dan hasil pemulihan kumpulan dengan pelanggan, jumlah peruntukan akhir tambahan dan lebih rendah mungkin dilaksanakan pada suku pertama 2022.
Abdul Rahman berkata, walaupun prospek kekal bercampur-campur dan tidak menentu akibat perkembangan berkaitan pandemik seperti varian Omicron, CIMB yakin negara-negara tempatnya beroperasi akan menunjukkan pemulihan selanjutnya pada 2022 berikutan perkembangan ketara program vaksinasi dan pembukaan semula aktiviti ekonomi.
"Kami juga berharap perubahan progresif pelanggan daripada bantuan pembayaran balik pada sepanjang tahun ini," katanya.
Pada masa sama, CIMB menjelaskan, ia akan terus membantu pelanggan yang masih terkesan melalui program seperti Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) berikutan bank berkenaan kekal komited untuk membantu pelanggan terjejas untuk pulih daripada pandemik.
Abdul Rahman berkata, fokus pelaburan utama adalah membabitkan teknologi dan operasi, yang mana kumpulan itu bercadang untuk melabur hampir RM1.2 bilion pada tahun kewangan ini berikutan CIMB komited untuk mempercepat transformasi digitalnya dan mengukuhkan lagi daya tahan teknologi dan operasi.
"Selain itu, kami akan memperhebat usaha bagi meningkatkan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), seiring dengan komitmen kumpulan ini untuk menggerakkan RM30 bilion dalam kewangan yang mampan menjelang 2024.
"Berdasarkan ini, sasaran keseluruhan utama kumpulan bagi tahun kewangan 2022 adalah termasuk pulangan ke atas ekuiti (ROE) antara 8.5 hingga 9.0 peratus, pertumbuhan pinjaman antara 5.0 hingga 6.0 peratus, kos nisbah pendapatan (CIR) di bawah 49.0 peratus dan mengekalkan nisbah Ekuiti Lazim Tahap 1 (CET1) melebihi 13.0 peratus," katanya.
Beliau bagaimanapun berkata, prestasi ROE yang dicatatkan CIMB dijangka kekal pada 7.0 hingga 8.0 peratus, yang terjejas berikutan pengenalan Cukai Makmur yang dikenakan sekali sahaja di Malaysia pada 2022.
-BERNAMA











To post likes and comments on National Union of Bank Employees stories, you will need to Signin or Register Now