KUALA LUMPUR, 15 Dis -- Kesatuan Pekerja Bank Kebangsaan (NUBE) hari ini menggesa parti-parti politik agar lebih menumpukan kesusahan rakyat ketika ini berbanding keutamaan meneruskan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat.
Setiausaha Agungnya, J. Solomon berkata NUBE amat bimbang dengan spekulasi baru-baru ini mengenai tindak-tanduk pemimpin politik yang sedang giat mengumpulkan akuan bersumpah untuk meraih sokongan majoriti di Parlimen.
“Sebagaimana titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah yang bimbang mengenai kekerapan pertukaran pimpinan negeri itu dalam tempoh dua tahun, NUBE juga menganggap sebarang perubahan di peringkat Persekutuan ketika pandemik COVID-19 terus menular, akan hanya mengundang kesan amat negatif terhadap pekerja serta keluarga mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau sebaliknya menegaskan bahawa NUBE lebih mengutamakan kestabilan politik dan ekonomi pada masa ini untuk membolehkan kerajaan pimpinan Muhyiddin melakukan sedaya upaya demi membantu rakyat serta memastikan segala yang diumumkan dalam Belanjawaan 2021, dapat diterima oleh kumpulan sasaran.
Menurut Solomon, perdana menteri dan barisan kepimpinan sekarang juga terbukti telah mengambil alih Putrajaya sewaktu tempoh paling mencabar apabila negara menghadapi krisis kesihatan dan sosioekonomi paling serius dalam sejarah.
Atas dasar itu, katanya, perdana menteri seharusnya diberi ruang dan masa untuk membantu rakyat walaupun musuh politik beliau sebaliknya melontarkan cubaan demi cubaaan untuk menjatuhkannya dan menyukarkan usaha menumpukan masalah rakyat dan negara.
“Ini masa yang tidak kena untuk cuba menjatuhkan mana-mana kerajaan ketika krisis pandemik COVID-19 kerana negara memerlukan kelangsungan kerajaan serta kesinambungan dasar-dasar yang berupaya menangani masalah rakyat.
“Bagi NUBE, kestabilan politik dan kerajaan amat diperlukan untuk menangani masalah pengangguran yang masih meruncing dan diburukkan lagi dengan tindakan majikan beralih kepada automasi serta pendigitalan dalam semua sektor ekonomi tanpa mengambil kira kepentingan pekerja,” katanya.
Sehubungan itu, Solomon berkata NUBE mendesak semua pihak melakukan gencatan politik tanpa mengira daripada pihak kerajaan atau pembangkang bagi memastikan fokus kerajaan tidak tersasar untuk membela rakyat dan pekerja.
“Kita juga berharap ahli-ahli politik akan memberi ruang dan masa kepada Muhyiddin meneruskan tanggungjawabnya sebagai perdana menteri sehingga pilihan raya umum (PRU) baharu selepas tamatnya krisis COVID-19.
“NUBE akur hanya PRU mampu menyelesaikan masalah berikutan majoriti tipis yang dimiliki kerajaan. Sehingga itu marilah kita menguatkan tekad sebagai rakyat Malaysia untuk bekerjasama dan mengatasi krisis COVID-19,” katanya.
Solomon juga menyifatkan aspek kestabilan politik sebagai kunci bagi memastikan program-program yang dirancang akan membolehkan negara mengatasi kemelut kesihatan dan ekonomi demi mencapai matlamat dan membantu meringankan kesengaraan pekerja.
Beliau juga mendakwa dalam sektor perbankan misalnya, ramai pekerja kini berisiko kehilangan kerja jika majikan terus sewenang-wenangnya dibenarkan melaksanakan langkah penyumberan luar bagi tugas mereka selama ini.
“Justeru, NUBE merayu kepada perdana menteri untuk mengambil tindakan sepatutnya terhadap pengurusan bank yang melaksanakan langkah itu tetapi mengabaikan kebajikan pekerja, menyisih dan seterusnya memberhentikan pekerja ketika pandemik ini terus berleluasa.
“Perlu ditekankan di sini bahawa sebahagian besar pekerja ini adalah golongan B40 dan M40 dengan sejumlah keluarga yang terkesan ini bergantung secara harian kepada bantuan kerajaan serta belas ehsan badan bukan kerajaan (NGO). Ramai ahli NUBE ketika ini diminta berada di rumah kerana pekerjaan mereka telah disalurkan secara penyumberan luar atau kontrak kepada pihak ketiga di dalam negara mahu pun lokasi lain di rantau ini. Masa depan mereka amat suram,” katanya.
Dalam pada itu, Solomon berkata biarpun dicerca dan diejek oleh musuh politiknya, Muhyiddin dapat menghadapi cabaran politik termasuk kelulusan Belanjawan 2021 bagi bacaan pertama dan kedua di Dewan Rakyat, setakat ini.
Walaupun cadangan Belanjawan 2021 itu mungkin tidak dapat menyelesaikan semua cabaran rakyat ketika pandemik ini, namun ini dapat meringankan beban jika peruntukan tersebut dibelanjakan secara berhemat oleh kementerian berkaitan dengan niat membantu rakyat, katanya.
Beliau berkata, Muhyiddin juga menerusi pengumuman dan makluman inisiatif berkaitan, telah berulang kali menegaskan hasratnya untuk memastikan semua rakyat tetap bersatu dan aman agar “kita semua dapat bertahan daripada COVID-19 dengan perpaduan yang ada.”
Antara pencapaian beliau bagi pekerja khususnya termasuk menyakinkan pihak bank untuk memberikan kemudahan moratorium dan lanjutan selama enam bulan, subsidi gaji dan lanjutannya serta pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Perdana Menteri juga telah berulang kali menasihati majikan agar tidak memberhentikan pekerja atau bertindak memotong atau menahan gaji mereka -- usaha yang amat dialu-alukan oleh NUBE serta tindakan yang diperlukan untuk membantu pekerja B40 dan M40.
“Kita mendapati Muhyiddin dan pentadbirannya telah mengambil semua langkah yang diperlukan untuk membolehkan negara, rakyat dan pekerja bangkit daripada kesan pandemik. Oleh itu, beliau harus diberi ruang untuk melaksanakan misi dan amanahnya kepada rakyat dan pekerja tanpa sebarang ancaman terhadap kedudukannya.
“Selain itu, kita juga harus akui bahawa tiada satu parti politik yang memiliki majoriti untuk membentuk kerajaan. PH (Pakatan Harapan) telah diberi peluang untuk membentuk kerajaan dan hanya bertahan selama 22 bulan. Di samping itu, Muhyiddin tidak merebut jawatan perdana menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad yang sebaliknya telah berundur dengan sendiri,” katanya.
Solomon berkata, ketika mengharungi krisis ketika ini, sebarang tindakan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin hanya dilihat sebagai wajar sekiranya beliau terbukti melakukan kesalahan atau penyelewengan yang serius.
“Sebaliknya, jika tiada alasan sedemikian, sebarang cubaan menggerakkan usul tidak percaya pada masa ini akan lebih dilihat sebagai taktik untuk memperalatkan majoriti tipis kerajaan demi memenuhi keinginan individu lain menjadi perdana menteri,” katanya.
-- BERNAMA











To post likes and comments on National Union of Bank Employees stories, you will need to Signin or Register Now