KEN
KENYATAAN MEDIA
UNTUK SIARAN SEGERA
20 April 2016
FEBFI HARAP DUA JUTA PELUANG KERJA BAHARU HASIL TPPA TIDAK DIKUASAI PEKERJA ASING
KUALA LUMPUR: Persekutuan Kesatuan Sekerja Pekerja-Pekerja Dalam Perbankan dan Institusi Kewangan (FEBFI) mengesyorkan agar kerajaan memberi kuasa eksklusif kepada Kementerian Sumber Manusia untuk menyelia hal-hal yang berkaitan dengan pekerja negara ini, termasuk pengambilan pekerja asing.
Setiausaha Agung FEBFI, Saudara J. Solomon berkata, langkah ini penting untuk memastikan bahawa kebajikan pekerja-pekerja dapat ditangani dengan lebih berkesan oleh satu kementerian.
Malah menurut beliau, langkah ini juga akan memastikan bahawa dua juta peluang pekerjaan yang akan disediakan hasil pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) tidak dikuasai atau jatuh ke tangan oleh pekerja-pekerja asing.
FEBFI mengalu-alukan penjanaan dua juta peluang pekerjaan menjelang 2027 ekoan pelaksanaan TPPA, sebagaimana dijamin oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan FEBFI berharap kementerian-kementerian yang lain juga akan bekerjasama rapat dengan MITI untuk memastikan kesemua rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada TPPA.
“Kami berharap usaha-usaha yang telah diambil oleh MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri), tidak akan dikuasai oleh warganegara negara lain,” kata beliau.
Sementara FEBFI mengalu-alukan dan menghargai perkhidmatan pekerja asing untuk mengisi slot kosong yang wujud di Malaysia, ia tidak boleh disalahgunakan untuk menindas upah pekerja Malaysia.
“Pada masa ini, kami tidak dapat menentukan angka sebenar bilangan pekerja asing di negara ini, yang melambung dari hari ke hari dan kami telah menyaksikan masalah sosial ekoran keadaan ini,” katanya.
FEBFI telah menganjurkan seminar dua hari mengenai TPPA. Seminar ini berakhir dengan Perbincangan Panel petang semalam. Ahli panel terdiri daripada Datuk J. Jayasiri, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategi dan Pemantauan), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Encik K. Kesavan, Ketua Penolong Setiausaha Cawangan Dasar Buruh, Kementerian Sumber Manusia; Encik Azlan Awang, Timbalan Pengerusi Bantah TPPA dan Encik Gopal Krishnam, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia.
“Pergerakan kesatuan sekerja telah banyak kali membangkitkan (idea) bahawa hal ehwal pekerja patut berada di bawah satu kementerian iaitu Kementerian Sumber Manusia,” kata beliau.
Meskipun Kementerian Dalam Negeri telah mengambil kawalan yang besar ke atas penggajian pekerja-pekerja asing, kata beliau, pihaknya berharap kerajaan akan mempertimbangkan syor agar penyeliaan dan pengawasan ke atas pekerja dilakukan oleh Kementerian Sumber Manusia supaya tidak timbul isu dua juta peluang pekerjaan yang akan disediakan menjelang tahun 2027 ‘dirampas’ oleh pekerja-pekerja asing.
Beliau juga menarik perhatian bahawa “kita terpaksa menerima hakikat bahawa Malaysia telah menandatangani TPPA dan ia akan berkuat kuasa pada 2018.”
Oleh itu, katanya, kesatuan sekerja perlu bekerja dengan rapat untuk menikmati manfaat terbaik daripada TPPA.
Saudara Solomon juga menghargai sikap akomodatif MITI dan Kementerian Sumber Manusia yang sentiasa mengadakan dialog dengan pihak-pihak yang berkepentingan mengenai isu-isu TPPA.
Beliau juga melahirkan penghargaan kepada semua penceramah dan ahli panel yang telah berkongsi pandangan dan pengalaman demi memudahkan para peserta mengetahui aspek realistik TPPA.
DIKELUARKAN OLEH:
PERSEKUTUAN KESATUAN SEKERJA PEKERJA-PEKERJA DALAM PERBANKAN DAN INSTITUSI KEWANGAN (FEBFI)
Nota: Untuk makluman boleh menghubungi En J Solomon Setiausaha Agung FEBFI di talian 016-2297279.











To post likes and comments on National Union of Bank Employees stories, you will need to Signin or Register Now