KUALA LUMPUR: Maybank meraih keuntungan bersih RM1.96 bilion pada suku kedua berakhir 30 Jun 2021, melonjak lebih sekali ganda berbanding RM941.7 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun sebelumnya.
Menurut institusi perbankan keempat terbesar di Asia Tenggara dari segi aset itu, untung bersih yang diraih pada suku dikaji lebih baik disokong peningkatan pinjaman dan margin faedah bersih (NIM).
Katanya, prestasi kewangan pada suku itu bagaimanapun dibayangi penyusutan pendapatan kepada RM11.34 bilion, berbanding RM11.8 bilion yang diraih semasa suku sama tahun lalu.
"Prestasi kewangan Maybank juga disokong pinjaman yang terus meningkatkan dan NIM berkembang daripada gabungan pendanaan lebih cekap serta kemerosotan lebih rendah yang ditanggung bank berbanding tahun sebelumnya.
"Keuntungan sebelum cukai bagi tempoh suku kedua juga lebih tinggi kepada RM2.73 bilion daripada RM1.26 bilion tempoh sama tahun lalu," katanya.
Kumpulan perbankan itu turut mencatat pertumbuhan pendapatan bersih operasi stabil pada suku dikaji kepada RM6.17 bilion, menokok 9.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Maybank berkata, peningkatan itu disokong pemulihan 26.4 peratus dalam pendapatan berasaskan dana dipacu lonjakan dalam pinjaman dan pertumbuhan kukuh deposit akaun semasa dan simpanan (CASA) serta kos semasa yang rendah, mengimbangi penurunan 27 peratus pendapatan berasaskan fi bersih kesan daripada sekatan pergerakan di rantau ini.
"Pendapatan bersih berasaskan dana tahun lalu adalah lebih rendah kerana terdapat kerugian pengubahsuaian Hari-1 yang ketara susulan pemberian moratorium automatik selama enam bulan berkuatkuasa 1 April 2020," katanya.
Jika dibandingkan dengan suku terdahulu, untung bersih Maybank bagaimanapun merosot berbanding RM2.39 bilion yang dicatatkan pada suku pertama 2021 disebabkan oleh penurunan pendapatan bersih berasaskan fi, kesan kenaikan mendadak COVID-19 serta kerugian pasaran-ke-pasaran dan perbelanjaan overhed lebih tinggi.
Bagi tempoh separuh pertama 2021, Maybank mencatatkan untung bersih lebih tinggi kepada RM4.35 bilion, lebih tinggi berbanding RM2.99 bilion yang diraih pada tempoh sama tahun lalu.
Bagi tempoh enam bulan tahun ini, pendapatan bersih berasaskan fi berkurangan sebanyak 16.5 peratus kepada RM3.5 bilion daripada RM4.19 bilion pada separuh pertama tahun lalu terutama disebabkan penurunan keuntungan pelupusan pelaburan dan kerugian pasaran-ke-pasaran.
"Bagaimanapun, ia diimbangi kenaikan pendapatan bersih berasaskan dana sebanyak 16.1 peratus kepada RM9.5 bilion kerana pinjaman dan NIM berkembang berikutan pertumbuhan CASA yang kukuh.
"Justeru, pendapatan bersih operasi bagi tempoh separuh pertama tahun ini meningkat 5.1 peratus kepada RM13 bilion daripada RM12.37 bilion tempoh sama tahun lalu dan keuntungan operasi peruntukan meningkat 7.9 peratus kepada RM7.26 bilion," katanya.
Pengerusi Maybank, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa, berkata walaupun meraih permulaan baik pada awal tahun ini, kumpulan tetap berhati-hati dengan momentum pertumbuhan serantau secara keseluruhan memandangkan peningkatan mendadak dalam kes COVID-19 dalam tempoh beberapa bulan terakhir.
"Kami akan terus menerapkan strategi seperti yang dinyatakan dalam Pelan M25, yang mana kami percaya dapat menempuh ketidakpastian, menjamin peluang pertumbuhan baharu dan menciptakan nilai untuk semua pihak berkepentingan," katanya.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias, pula berkata memandangkan jangkaan untuk separuh tahun kedua lebih mencabar, kumpulan akan meneruskan strategi memberi tumpuan kepada pengurusan risiko yang mantap, memperkukuh modal selain mengembangkan asas simpanan CASA bagi menyediakan penampan mencukupi untuk situasi tidak dijangka.
"Kedudukan mudah tunai dan modal yang kukuh memberi kami kemampuan untuk menyokong pelanggan untuk menempuh wabak berpanjangan ini dan pada masa sama, membolehkan kami meneroka peluang pertumbuhan di seluruh rantau ini dan melaksanakan pelaburan yang diperlukan untuk mempersiapkan diri pada masa depan," katanya.
Menuju ke hadapan, Abdul Farid berkata, Maybank akan terus memperkukuhkan kemampuan digital dan meneroka inovasi, selain mempercepat komitmen kelestarian untuk meningkatkan daya saing dalam meneruskan agenda pertumbuhan kumpulan.











To post likes and comments on National Union of Bank Employees stories, you will need to Signin or Register Now