SEMALAM, seramai 6.5 juta pekerja tempatan dalam sektor kerajaan dan swasta diraikan bersempena Hari Pekerja. Tidak ketinggalan, seramai 6.0 juta pekerja asing berdaftar di negara ini turut mendapat ‘tempias’ meraikan cuti umum apabila sebahagian besar mereka mendapat rehat pada hari berkenaan.
Hari Pekerja yang diraikan pada 1 Mei setiap tahun disambut secara serentak di seluruh dunia sekali gus menjadikan ia salah satu ‘perayaan’ terbesar diraikan oleh masyarakat global.
Idea sambutan Hari Pekerja atau Labor Day telah dicetuskan pada tahun 1856 oleh golongan proletariat Australia sebagai salah satu cara untuk mengurangkan waktu bekerja menjadi lapan jam sehari.
Kali pertama ia disambut memberi impak positif kepada golongan tersebut, tetapi dalam masa sama mencetus pemberontakan di negara lain.
Kejayaan di Australia itu (waktu bekerja lapan jam) telah menjadi dorongan kepada pekerja di negara lain untuk tampil berani menuntut hak sama, dan kumpulan pertama yang mengikuti langkah itu ialah pekerja di Amerika Syarikat (AS).
Inisiatif itu dimulakan Peter McGuire pada 1872 apabila mengetuai mogok 100,000 pekerja yang tidak berpuas hati dengan waktu bekerja yang panjang tetapi dibayar dengan upah sedikit dan diikuti mogok besar pada 1 Mei 1886 disertai 400,000 pekerja AS yang mahu waktu bekerja dipendekkan kepada lapan jam sehari.
Selang tiga tahun selepas mogok besar itu yang berakhir dengan tragedi kematian, pada Julai 1889 Kongres Sosialis Dunia mengisytiharkan 1 Mei sebagai Hari Pekerja Sedunia dan mewajibkan seluruh negara menggubal akta agar waktu bekerja ditetapkan kepada lapan jam sehari.
Sambutan Hari Pekerja Sedunia tahun ini adalah yang ke-127. Di Malaysia, Hari Pekerja telah disambut sejak 1 Mei 1921, namun hanya pada 1973, tarikh berkenaan ditetapkan secara rasmi sebagai Hari Pekerja sekali gus diisytihar sebagai cuti umum yang dibenarkan kerajaan.
Mengimbau sejarah perjuangan dan tuntutan pengiktirafan 1 Mei sebagai Hari Pekerja di Malaysia bermula sejak zaman penjajahan British.
Ia bermula pada 1947 apabila Pan-Malayan Federation of Trade Union (PMFTU) menghantar surat tuntutan untuk cuti Hari Pekerja atau May Day pada 1 Mei kepada penjajah British.
Pada 1 Mei tahun berkenaan, seramai 50,000 pekerja di Singapura telah mengadakan demonstrasi untuk menyokong PMFTU.
Tuntutan cuti hari pekerja kemudiannya diteruskan National Union of Factory and General Workers (NUFGW) pada 1956 kepada kerajaan dan ‘ugutan’ untuk melancarkan mogok sekiranya tuntutan mereka tidak diterima.
Kesungguhan NUFGW membuat tuntutan itu dibuat menerusi Setiausaha Agungnya, V. David yang juga Ahli Parlimen Bangsar pada 1960 yang mengemukakan usul agar 1 Mei ditetapkan sebagai Hari Pekerja dan hari kelepasan am di Parlimen, namun telah ditolak.
Selang dua tahun berikutnya, Parti Buruh Malaya (PBM) sekali lagi mengemukakan usul 1 Mei digazet sebagai Hari Pekerja dengan hari cuti umum bergaji bagi semua pekerja di bawah kerajaan tempatan yang ditadbir PBM.
Tidak ketinggalan usaha Malaysian Trades Union Congress (MTUC) yang membuat tuntutan sama selama sembilan tahun iaitu setiap kali perhimpunan Hari Pekerja yang disambut setiap 1 Mei sejak 1963.
Akhirnya pada 20 Mei 1972, kerajaan bersetuju menjadikan 1 Mei sebagai Hari Pekerja dan hari kelepasan am di seluruh Malaysia.
Hakikatnya tarikh 1 Mei yang diraikan sebagai Hari Pekerja hari ini membuktikan signifikan manifestasi kejayaan kesatuan sekerja dalam memperjuangkan hak pekerja khususnya di Malaysia.
Tidak dinafikan, pekerja memiliki peranan besar dan dominan dalam menyumbang ke arah pembangunan sesebuah negara. Mereka dilihat sebagai agen perubahan yang menyumbang kepada kejayaan dasar-dasar kerajaan Malaysia yang telah dirancang dan dibentuk.
Akhir kata buat semua pekerja di Malaysia, Selamat Hari Pekerja!
– UTUSAN MALAYSIA











To post likes and comments on National Union of Bank Employees stories, you will need to Signin or Register Now