KUALA LUMPUR: Penggunaan dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) setiap kali bencana bukan pendekatan bijak, kata Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE).
Setiausaha Agungnya, J Solomon, berkata ketegasan yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan KWSP yang memutuskan untuk tidak membenarkan pengeluaran lanjut simpanan KWSP meskipun didesak oleh ahli politik tertentu, adalah langkah tepat.
"NUBE bersimpati dengan nasib mangsa banjir, tetapi menggunakan dana persaraan pekerja ketika setiap bencana bukanlah pendekatan bijak," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Solomon berkata, penggunaan dana KWSP semasa setiap bencana tanda kerajaan tidak cekap dan ahli politik yang berkenaan perlu sedar tabung persaraan pekerja merosot dengan ketara akibat pengeluaran yang dibuat dalam tempoh dua tahun lalu akibat COVID-19.
"KWSP sudah memberikan statistik yang mencukupi mengenai status simpanan persaraan pekerja selepas pelbagai pengeluaran diluluskan di bawah skim i-Lestari, iSinar dan i-Citra.
"Ini membawa kepada sejumlah besar pencarum, sebahagian besarnya daripada kumpulan B40, sangat terdedah kepada kesukaran apabila bersara.
"Agak mengejutkan seramai 28 peratus atau 3.6 juta ahli mempunyai kurang dari RM1,000 dalam simpanan mereka.
"Kita perlu menerima hakikat kekurangan simpanan yang mencukupi juga, antara lain, disebabkan oleh ketiadaan kenaikan gaji yang baik selama beberapa dekad dan khususnya, kekurangan gaji sara hidup yang baik," katanya.
Beliau berkata, NUBE skim dan insentif yang diumumkan oleh Perdana Menteri boleh membantu mangsa banjir dan jika tidak mencukupi, kerajaan perlu menambah peruntukan sumbernya dengan sewajarnya.
"Pandangan yang diterima umum kerajaan, pada peringkat Persekutuan dan negeri, bertanggungjawab untuk memastikan keperluan asas yang mencukupi disediakan dan pengagihannya tepat pada masanya, untuk meringankan kesengsaraan yang dihadapi oleh mangsa banjir," katanya.
Solomon berkata, NUBE menyokong pendirian Perdana Menteri dan berharap beliau akan tegas mempertahan keputusannya, demi kesejahteraan pencarum dalam jangka masa panjang.
"NUBE berharap parti beliau tidak akan tunduk kepada tekanan politik popular jangka pendek dan meninggalkan pekerja dalam kesusahan jangka panjang.
"Tindakan tunduk kepada tekanan akan menyebabkan masalah sosial yang teruk dan kita sudah melihat tanda-tanda sedemikian," katanya.











To post likes and comments on National Union of Bank Employees stories, you will need to Signin or Register Now