Susulan langkah InvestPenang dan HSBC Bank Malaysia Bhd (HSBC) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk memberi tumpuan bagi membawa pelaburan langsung asing berkualiti tinggi ke Pulau Pinang dan Malaysia, Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) telah mengadakan pertemuan dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 7 Disember 2021, untuk membangkitkan pendirian membantah tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang itu.
Timbalan Ketua Menteri II, YB Prof Dr P. Ramasamy yang mempengerusikan mesyuarat itu telah mendengar pandangan dan hujah yang dikemukakan oleh delegasi NUBE. Kami menghargai masa yang diluangkan oleh YB Ramasamy untuk mendengar pendirian kami dan beliau telah berjanji untuk menyemak perkara tersebut kerana tidak mengetahui tentang MoU itu dan beliau memberi jaminan kepada kami bahawa isu pekerja adalah keutamaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Baru-baru ini, NUBE menerima surat daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang mempertahankan kerjasama mereka dengan HSBC, yang membayangkan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus melaksanakan MoU yang telah dimeterai walaupun berlaku eksploitasi pekerja dan beberapa skandal kewangan antarabangsa.
NUBE mengalu-alukan pelabur asing yang beretika dan mematuhi undang-undang serta pelaburan mereka ke Malaysia memandangkan majikan bukan sahaja akan menyediakan peluang pekerjaan, tetapi juga melindungi hak pekerja dan bukan sebaliknya.
Bagaimanapun, NUBE menimbulkan bantahan terhadap kerjasama ini kerana tindakan berulang HSBC telah menjejaskan hak pekerja di Malaysia. Ini termasuklah melanggar undang-undang dan peraturan buruh dengan memberhentikan pekerja, terutamanya ahli-ahli NUBE, semasa wabak pada tahun lepas, dan penutupan banyak cawangan, menjadikannya sukar dan membebankan para pelanggan di negara ini.
Selain itu, Kumpulan HSBC telah menjadi pusat kepada beberapa skandal kewangan terbesar yang disaksikan pada abad ini, di seluruh dunia. Sebagai contoh, di Amerika Syarikat (AS), Kumpulan HSBC telah membayar penyelesaian berjumlah AS$1.9 bilion selepas didapati membenarkan kartel, iaitu Sinaloa Cartel, untuk mengubah wang mereka. Australia, Afrika Selatan, Argentina, United Kingdom (UK) dan Switzerland semuanya pernah mengenakan denda terhadap Kumpulan HSBC atas tuduhan pengubahan wang haram. Selain terlibat dengan skim pengelakan cukai dan menipu pelanggannya sendiri, Kumpulan HSBC telah lama didakwa dan dikaitkan dengan pemusnahan hutan global, menyebabkan komuniti terjejas di seluruh dunia dalam kesusahan. Malah, di peringkat antarabangsa, HSBC telah dikecam kerana memegang berjuta-juta saham dalam firma China yang dikaitkan dengan kekejaman ke atas umat Islam Uighur. Bank itu juga telah dikritik kerana gagal mempertahankan demokrasi di Hong Kong.
NUBE amat percaya bahawa demi kepentingan semua pihak, kerjasama antara InvestPenang dan HSBC ini perlu ditamatkan. Dengan meneruskan MoU ini, NUBE percaya bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil pendirian menentang hak pekerja dan kebenaran. Mana-mana institusi yang menentang kebenaran tidak akan kekal; semua keuntungan akan hilang, dan kemudaratan yang dilakukan ke atas orang lain akan segera bertimpa ke atas diri sendiri.
Jika Kerajaan Negeri Pulau Pinang komited untuk memerangi rasuah, pengubahan wang haram, kleptokrasi dan melindungi hak pekerja, adalah sukar untuk memahami mengapa Kerajaan Negeri mahu bersekongkol dengan institusi pelaburan asing yang mengambil bahagian dalam salah satu episod paling terkenal dalam sejarah pengubahan wang haram dan perbuatan bank itu kini termasuklah pencabulan hak asasi manusia ke atas pekerja-pekerja Malaysia.
Tidak ada gunanya mengutuk pemimpin atau kerajaan lain atas alasan kleptokrasi dan sebagainya sedangkan Kerajaan Negeri sendiri menggalakkan perkara yang sama dengan melibatkan pelabur asing yang mempunyai sifat yang serupa. Lebih merugikan apabila meminta rakan pelabur yang diselubungi skandal seperti itu melabur di Pulau Pinang, yang merupakan satu tindakan pengkhianatan kepada pekerja dan rakyat di Pulau Pinang.
Tanggungjawab utama kerajaan yang dipilih adalah untuk melindungi rakyat yang memberi mereka mandat. Malaysia berada pada tahap di mana rakyatnya tidak percaya dengan institusi yang dibina untuk melindungi mereka, dan dengan meneruskan MoU ini, ia akan semakin menghakis kepercayaan kepada kerajaan. Dengan bersekongkol dengan HSBC, Kerajaan Negeri Pulau Pinang berisiko kehilangan kredibiliti dan integritinya.
Kami faham bahawa kesan ekonomi akibat Covid-19 amat dahsyat. Walau bagaimanapun, memilih keuntungan material semata-mata berbanding keadilan dan integriti jauh lebih merugikan, kerana ia melemahkan institusi, rakyatnya dan nilai dan prinsipnya.
Dan dengan membenarkan perkara ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang bertanggungjawab, sekurang-kurangnya sebahagiannya, atas penderitaan yang disebabkan oleh kekurangan kompas moral HSBC. Oleh itu, adalah perlu bagi semua agensi kerajaan untuk merenung dengan teliti akibat daripada merelakan tindakan eksploitatif bank terhadap pekerja-pekerja Malaysia.
Sekali lagi, NUBE menggesa dan berharap agar Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyemak semula MoU yang telah ditandatangani dengan HSBC demi kepentingan rakyat Pulau Pinang dan Malaysia amnya dan pekerja-pekerja Malaysia khususnya yang terdiri daripada golongan B40 dan M40.
J SOLOMON
SETIAUSAHA AGUNG
KESATUAN KEBANGSAAN PEKERJA-PEKERJA BANK (NUBE)
9 FEBRUARI 2022











To post likes and comments on National Union of Bank Employees stories, you will need to Signin or Register Now